Khamis, 24 Mei 2012

Gerakan Belia 4B Malaysia

SEJARAH PENUBUHAN 4B ;
Cetusan idea dan ilham saudara Mohd. Kassim Shah, seorang guru di Sekolah Lelaki Methodist, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, selaku Pengerusi Ikatan Seni Budi yang bergabung dengan Persidangan Tetap Belia Daerah (PTBD) Kuala Lumpur. Pada 1964 PTBD merangkumi sebanyak 21 buah persatuan adalah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saudara Mohd Kassim Shah merupakan pemimpin yang berminat dalam hal ehwal kemasyarakatan, kebajikan dan politik tanahair, di mana beliau pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setapak, Kuala Lumpur.
PTBD diwujudkan oleh kerajaan di setiap daerah seluruh negara di mana strukturnya tertumpu dalam satu-satu daerah dengan tujuan kesemua persatuan belia menyertai PTBD di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat sumbangan dan bantuan dari JKM untuk aktivitinya. Ketika itu, pertubuhan belia Malaysia Association of Youth Council (MAYC) berperanan peringkat kebangsaan dan PTBD pula berperanan pada peringkat daerah sahaja.
Tahun 1965 berlaku satu peralihan pada semua persatuan dan pertubuhan belian di seluruh negara diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia & Sukan beribu pejabat di no. 165, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ketika itu Allahyarham Dato’ Engku Mohsin Abdul Kadir merupakan Menteri Muda KBS.
Sebelum 4B, MAYC ditubuhkan untuk kepentingan penjajah agar pemimpin-pemimpin belia tidak terlibat dalam politik di mana ketika itu pemuda UMNO bersemangat memerdekakan negara. Setelah tampuk pimpinan MAYC diambilalih oleh YM Tengku Abdullah iaitu adik kepada Yang diPertuan Agong Pertama, tidak ada badan belia kebangsaan, hanya MAYC bergerak bersama gabungan belia-belia telah mendapat berbagai-nbagai faedah daripada kerajaan sebagai bukan parti siasah.

TUJUAN DAN MATLAMAT ;
Tujuan kewujudan MAYC adalah sebagai badan gabungan seluruh belia yang ada di seluruh negara, seperti penjelasan dari Encik Abdullah Malim Baginda bekas Penolong Pengarah Belia di KBS, kurang mendapat sambutan dari belia-belia. Lagipun, MAYC tidak mampu menarik belia-belia untuk menyertainya. Pada Ogos 1964, KBS telah diwujudkan dan pada November 1965, KBS telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Chengmai, Bangkok, Thailand bertujuan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin belia negara ini meluaskan pengetahuan dari luar negara. Seramai 29 perwakilan dari persatuan belia dari seluruh negara termasuk juga dari PTBD Kuala Lumpur yang diwakili oleh saudara Mohd Kassim Shah, saudara Ghazali Salleh dan saudara Bala Velusamy.
Program 11 hari tersebut, perwakilan dibawa melawat dan meninjau kegiatan-kegiatan pemimpin 4H Thailand di mana dari situ timbul satu kesedaran supaya pemimpin Malaysia memulakan satu aktiviti yang sama di tanah air sendiri. Cadangan ini dimaklumkan pada KBS untuk mencontohi usaha pemimpin di Thailand agar pemimpim belia di luar bandar dapat melaksanakannya.
Pada 26 Disember 1965, satu pertemuan diadakan dengan YB Engku Mhsein Abdul Kadir, Menteri Muda KBS di ibu pejabatnya, diketuai oleh Saudara Mohd. Kassim Shah, Allahyarham saudara Baharuddin Hussein, saudara Ali bin Abdul Rahman, saudara Mohd Zain bin Rashid, saudara Mohd Nor bin Haji Yusof, saudara Bala Velusamy dan turut hadir Encik Abdullah Malim Baginda, pegawai KBS.
Di pertemuan tersebut, YB Menteri Muda bersetuju agar belia-belia terutamanya di luar bandar menjayakan aktiviti dalam bidang pertanian, ternakan dan sebagainya bagi mengelakkan belia-belia berhijrah ke Bandar dan tidak menumpukan kegiatan kebudayaan semata-mata sahaja. Sokongan penuh dan dorongan YB Menteri Muda KBS di mana satu perubahan perlu ditekankan terhadap belia di negara ini supaya dapat ditonjolkan bagi menceburi aktiviti-aktiviti yang mendatangkan hasil dan faedah untuk masa hadapan mereka. Terutamanya, bidang pertanian ,perternakan,perniagaan dan lain-lain di mana penglibatan belia dapat membantu kerajaan dalam pembangunan luar bandar. Belia-belia yang menganggotai PTBD diberi tugas dan tanggungjawab untuk memainkan peranan bagi menukar mentality dan cara hidup para belia supaya menjadi lebih kreatif dan berani menghadapi cabaran pada masa akan datang.

SENARAI PRESIDEN ;

1 ) Cikgu Mohd. Kassim Shah (Kuala Lumpur)
Presiden 4B Pertama (1965 - 1968)
Seorang guru di Sekolah Lelaki Methodist, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur.
Di antara pengasas penubuhan Gerakan Belia 4B

2 ) Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin (Selangor)
Presiden Kedua (1968 - November 1991)
Seorang Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang.
Zaman Kegemilangan 4B

3 ) Dato’ Seri Mohd Tajol Rosli Tan Sri Ghazali (Perak)
Presiden Ketiga (November 1991 - Jun 1994)
Timbalan Menteri Tenaga, Telekom, Dan Pos.

4 ) Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam (Melaka)
Presiden Keempat (18 Disember 1994 - 2009)
Timbalan Menteri Kesihatan
Zaman Kecemerlangan 4B

5 ) Saudara Mua'amar Ghadafi Jamal Datuk Wira Hj Jamaludin (Perak)
Presiden Kelima (2009 sehingga sekarang)
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat
Zaman Era Baru 4B

APA ITU 4B ;
4B ialah singkatan nama bagi cogankata Bersatu, Belajar, Bekerja dan Berkhidmat. Cogankata yang konkrit ini menjadi tunjang perjuangan pertubuhan ini. Ia adalah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 1965 yang dipimpin oleh Cikgu Mohd. Kassim Shah yang berkhidmat selama 3 tahun (1965-1968). Konsep 4B ini adalah sangat sesuai dengan agenda pertubuhan ini yang menumpukan dalam bidang pertanian pada mula penubuhannya yang terhasil daripada persepakatan ahli jawatankuasa pengasas pergerakan dan menyahut seruan kerajaan yang mahu membela nasib belia luar bandar dalam bidang ini. Motto utama ialah ‘Bergerak’.
Perkataan ‘Gerakan’ diperolehi oleh Mohd Kassim Shah melalui pendekatan kebangkitan perjuangan kemerdekaan di Malaysia dan Indonesia yang menggunakan slogan ‘Gerakan’. Manakala ‘4B’ pula terhasil dari konsep ‘4H’ yang di ilhamkan oleh Abdullah Malim Baginda. Konsep 4H yang di gunakan di Amerika Syarikat juga diguna pakai oleh Gerakan Belia Thailand. Idea ini juga tercetus hasil lawatan sambil belajar Mohd. Kassim Shah bersama-sama rakan belia yang lain ke Thailand. Pada ketika itu, Cikgu Mohd. Kassim merupakan Pengerusi Kesatuan Ikatan Seni Budi Kuala Lumpur. Seramai 29 orang turut mengikuti rombongan sambil belajar ke Chiang Mai, Thailand pada tahun 1965. rombongan ini adalah terdiri daripada pengerusi dan setiausaha pelbagai pertubuhan belia. Lawatan ini dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS).

VISI, MISI DAN OBJEKTIF 4B ;
Visi
Kearah pembentukan belia cemerlang lagi gemilang yang dapat menyumbang kepada pembangunan Agama, Bangsa, Masyarakat, dan Negara.

Misi
Melahirkan belia yang berdisiplin , bertanggungjawab, prihatin, dinamik, proaktif, cergas, berkepimpinan , berkemahiran, berdikari, berbudaya, patriotik, kesukarelaan dan daya juang yang tinggi.

Objektif
· Mewujudkan persatuan/komuniti yang saling berhubung antara sub komuniti dan individu melalui pelbagai kegiatan dan aktiviti belia;
· Menyatu, menyusun dan menggembleng tenaga belia untuk mengambil peranan positif dalam pembangunan negara serta bersifat Glokal dan Inovatif;
· Mewujudkan unsur prihatin , mahir, dinamik sebagai teras pembangunan modal insan kelas pertama golongan belia dengan semangat "Yakin Boleh";
· Memaju dan mengukuhkan kedudukan ekonomi ahli-ahli belia untuk mewujudkan masyarakat yang lebih makmur;
· Membangunkan imej diri belia dengan penerapan nilai-nilai positif membina watak, displin, hormat-menghormati, setia, bekerjasama, bersatu dan bersemangat patriotik;
· Memperbanyakkan jaringan hubungan dalam melaksanakan secara bersepadu bersama agensi yang mempunyai kepakaran khusus yang berkaitan dengan belia.

TUJUAN-TUJUAN BELIA 4B ;
· Menyatu, menyusun dan mengembeling tenaga belia untuk mengambil peranan positif dalam pembangunan Negara dan untuk menegakkan masyarakat yang adil;
· Memberi pendidikan rohani dan jasmani ;
· Melatih ahli-ahli mengambil bahagian yang sepenuhnya demi kepentingan Belia 4B, Agama, Bangsa dan Negara.
· Menegakkan dan menganjurkan pengkajian, latihan dan bimbingan untuk belia-belia dalam semua bidang kemahiran dan pengetahuan.
· Memaju dan mengukuhkan kedudukan ekonomi ahli-ahli untuk mewujudkan masyarakat yang lebih makmur
· Menaja dan memimpin usaha-usaha berkhidmat yang tulen yang berdasarkan rasa tanggungjawab dan keihklasan.
· Menggalakan ahli-ahli bergerak ke arah kehidupan yang sempurna yang berasakan kehormatan diri dan sifat berdikari dan berdisiplin.
· Berusaha untuk memelihara, memperkembangkan dan mempertahankan keutuhan Bahasa Melayu dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.
· Bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan sukarela yang sehaluan dengan kehendak-kehendak, tujuan dan perjuangan Belia 4B.
· Memajukan sokongan kepada kerajaan dan kepada badan-badan lain yang sesuai.
· Berusaha mempertahankan, menegak dan memperkembangkan agama Islam, agama rasmi negara.

ALAMAT SURAT-MENYURAT ;
Gerakan Belia 4B Malaysia
JKR 525 Jalan Persekutuan
Bukit Persekutuan
50480 Kuala Lumpur
Telefon : 603-2282 4649 / 2282 9648
Faks : 603-2282 6649
e-mel : admin@4bmalaysia.com
web : http://4bmalaysia.site90.net
blog : http://gb4bmalaysia-gb4bmalaysia.blogspot.com


*maaf, gambar dibawah tidak disusun mengikut senioriti dan tiada rujukan bertulis. Bersempena Himpunan Jutaan Belia tahun 2012 ini pada 23~27 Mei di Putrajaya ini, Kinta Menjerit ucapkan selamat HARI BELIA NEGARA kepada semua warga belia di Malaysia.




3 ulasan:

  1. Orang umno belaka yg jadi presidennya. Tak habis habis nak menipu dan menyamun je umno ni. Berapa ramai belia yg menjadi ahli persatuan penyamun ni?

    BalasPadam
  2. KETIKA 4B ditubuhkan PAS belum wujud dan atau bersama dalam PERIKATAN. Pegerakan tidak pernah memilih bulu.
    Lebih eluk kita berlaku tertip dalam ungkapan supaya tidak disalahkan oleh orang yang terdahulu yang mengetahui sejarah sebenar ketika itu.

    BalasPadam
  3. Gerakan 4B juga merupakan NGO Belia terawal menubuhkan Syarikat Kerjasama dan menghantar anggota untuk berkursus di Maktab Kerjasama yang sekarang dikenali sebagai Maktab Koperasi Malaysia di Petaling Jaya. Syarikat Kerjasama 4B atau dikenali dengan nama SEGEMAL ditubuhkan setelah anggota penaja mengikuti kursus Prinsip Kerjasama ketika itu.

    BalasPadam

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...