Ahad, 12 Ogos 2012

Tanda Putera filem yang di-anti oleh DAP

DEWASA ini timbul polemik berkenaan sebuah filem karya Datin Paduka Shuhaimi Baba oleh Pesona Pictures yang mengisahkan susur perjalanan dua orang negarawan terbilang, Tun Haji Abdul Razak Hussein dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman antara Mei 1969 dan Januari 1976.

Polemik timbul apabila Finas sebagai rakan kongsi Pesona Pictures telah menarik diri daripada projek itu untuk tayangan umum di panggung wayang gambar (pawagam) sebagaimana yang dijadualkan bermula 13 September ini.

Bawah skima Wajib Tayang, sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil Finas, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan pengusaha pawagam menentukan susunan giliran untuk penayangan sekurang-kurangnya dua filem tempatan setiap minggu.

Apabila Finas sebagai rakan kongsi projek Tanda Putera menarik diri, maka giliran filem ini untuk slot tayangan 13 September diberikan kepada filem tempatan yang lain.

Antara sebab yang difahamkan telah dijadikan alasan ialah sensitiviti mengenai peristiwa rusuhan kaum berdarah pada 13 Mei 1969, yang menjadi mukadimah filem ini.

Filem ini mengisahkan bagaimana Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tun Razak meminta Tun Dr. Ismail kembali ke dalam Kabinet apabila berlaku ketegangan pelbagai demonstrasi akibat keputusan pilihan raya umum ketiga dan Selangor (pada itu merangkumi Kuala Lumpur) tidak dapat menubuhkan kerajaan kerana tiada pihak mendapat majoriti.

Anasir-anasir radikal dan subversif, termasuk gerakan komunis, telah digambarkan sebagai mereka yang bertanggungjawab untuk menghasut agar demam pilihan raya Mei 1969 itu menjadi tegang dan kemudian bertukar menjadi kekacauan. Ini termasuk siri-siri demonstrasi pihak-pihak tertentu yang membuat provokasi biadap dan menimbulkan ketegangan dan kemarahan orang ramai.

Apabila peristiwa 13 Mei berlaku, Tanda Putera memberi banyak fokus mengenai krisis yang dihadapi, keputusan yang dibuat dan tindakan yang diambil agar keselamatan dijamin, ketenteraman tercapai, keadaan tenang dan sedikit demi sedikit, keyakinan rakyat dikembalikan.

Ini termasuk dasar-dasar yang lahir daripada perundingan peringkat nasional merangkumi semua pihak (kecuali DAP) seperti Dasar Ekonomi Baru dan projek Buku Hijau.

Filem ini juga mengisahkan bagaimana pengganas komunis mengubah taktik mereka dalam strategi untuk mengambil alih kuasa dengan merancang pembunuhan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974 dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pada 13 November 1975.

Dasar mengadakan hubungan diplomatik dengan China dijelaskan.

Tanda Putera juga mengisahkan bebanan peribadi Tun Razak dan Tun Dr. Ismail, yang menghidapi penyakit terminal (penyakit serius yang boleh menyebabkan kematian) tetapi terpaksa merahsiakannya, demi tugas membangunkan negara. Ini termasuk pemergian mengejut Tun Dr. Ismail kerana serangan jantung pada 2 Ogos 1973 (sewaktu Tun Razak menghadiri persidangan ketua negara Komanwel di Ottawa, Kanada) dan Tun Razak sendiri meninggal dunia di London pada 14 Januari 1976 akibat leukemia.

Antara reaksi negatif dikaitkan dengan penayangan filem ini ialah daripada Penasihat DAP Lim Kit Siang sendiri.

Namun daripada maklum balas media dan mereka yang telah menonton prebiu filem ini, sambutan amatlah menggalakkan. Mereka berpendapat bahawa filem ini banyak membuka mata mereka mengenai sejarah negarawan, apa yang sebenarnya berlaku, kesan keputusan yang dibuat dan tindakan yang diambil masih lagi kelihatan hari ini, walaupun ia sudah menjangkau 40 tahun.

Filem Tanda Putera ini telah mendapat kelulusan PG13 daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada 7 Jun. Lihat prebiu ( klik sini ).

Minggu lepas, Kabinet memutuskan bahawa kelulusan menayang filem ini diputuskan kepada LPF. Ini bermakna, pihak berwajib terutama Finas wajar menentukan filem Tanda Putera ini dikembalikan dalam senarai susunan penayangan filem tempatan skima Wajib Tayang.

Amat malang sekiranya penayangan ini ditangguhkan kerana sebab-sebab yang kurang jelas. Ini kerana khazanah sejarah negara dan negarawan yang dikaryakan dalam bentuk filem wajar dipertontonkan kepada orang ramai terutama golongan muda, agar mereka faham kenikmatan yang dikecapi hari ini datangnya daripada pengorbanan generasi terdahulu.

Saya berharap janganlah filem ini ditangguhkan atas sebab paranoia persepsi politik semata-mata. Apa sudah jadi kita ini?



Oleh Zaini Hassan, Utusan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...