Sabtu, 20 Oktober 2012

POLIGAMI, mengikut Enakmen di Perak


Allah Ta'la telah berfirman dalam Surah An Nisa': ayat 3 yang bermaksud:


" Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bila mana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja, atau budak-budak yang kamu miliki (hamba sahaya). Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya."


Islam mengharuskan poligami atas beberapa sebab:-

- Suami mempunyai dorongan nafsu syahwat yang luar biasa sehinggakan isteri tidak dapat memenuhi keinginannya.

- Keadaan isteri yang sentiasa uzur dan sakit.

- Membela kaum wanita yang menjadi balu atau janda setelah suami gugur dalam berjihad menegakkan agama Allah.

- Isteri tidak dapat melahirkan zuriat atas sebab kesihatan.



* sebagai rujukan ;
ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Permulaan Kepada Perkahwinan


Seksyen 23. POLIGAMI

(1) Tiada seorang lelaki pun semasa berterusannya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.

(2) Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 124.

(3) Subseksyen (1) terpakai bagi perkahwinan dalam Negeri Perak Darul Ridzuan seseorang lelaki yang bermastautin dalam atau di luar Negeri Perak Darul Ridzuan dan perkahwinan di luar Negeri Perak Darul Ridzuan seseorang lelaki yang bermastautin dalam Negeri Perak Darul Ridzuan.

(4) Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu iqrar menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennnya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperoleh atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.

(5) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, jika ada, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati-

(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan

(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syari'e kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

(6) Suatu salinan permohonan di bawah subseksyen (4) dan iqrar yang dikehendaki oleh subseksyen itu hendaklah disampaikan bersama dengan surat panggilan ke atas setiap isteri yang sedia ada.

(7) Mana-mana pihak yang terkilan atau tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan Mahkamah boleh merayu terhadap keputusan itu mengikut cara yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Mal (Perak) 2004 [Enakmen Bil. 7 Tahun 2004].

(8) Mana-mana orang yang membuat akad nikah berlawanan dengan subseksyen (1) hendaklah membayar dengan serta-merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jika jumlah itu tidak dibayar sedemikian, hendaklah dituntut sebagai hutang.

(9) Tatacara bagi akad nikah dan pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini hendaklah serupa dalam segala perkara dengan yang terpakai bagi perkahwinan-perkahwinan lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan dalam Negeri Perak Darul Ridzuan di bawah Enakmen ini.

(10) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan itu-

(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada; atau

(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperoleh oleh mereka dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.





*buat renungan

Panduan hadis Nabi s.a.w (riwayat Bukhari) yang bermaksud,
"Seorang perempuan itu dinikahi atas 4 kriteria atau sebab iaitu,
1) Hartanya
2) Keturunannya
3) Kecantikannya
4) Agamanya
Maka pilihlah yang taat agamanya nescaya kamu akan beruntung"




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...