Sabtu, 20 Oktober 2012

Zambry merempit dengan skuter pusing Ipoh


Seramai 340 peserta menyertai Program Gegar Ipoh Bersama Dr Zambry Abd Kadir yang membabitkan konvoi skuter jenama SYM mengelilingi bandar raya Ipoh sejauh kira-kira 40 km, bermula dari kediaman rasmi Menteri Besar, pagi tadi.

Program yang memasuki tahun kedua penganjuran itu antara lain bertujuan mempromosikan bandar raya Ipoh sebagai satu tarikan riadah dan berkonvoi di kalangan pemilik skuter SYM dari seluruh negara.

Selain itu, ia juga menjadi platform bagi pemilik skuter untuk berkumpul, sekaligus mengeratkan silaturrahim sesama mereka.

Tahun ini, program terbabit diserikan lagi dengan penyertaan pengedar motor skuter SYM, MForce Bike Holdings Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Tambah manis lagi apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengambil bahagian dalam konvoi berkenaan yang mana pasukan diketuai 17 kapten dan antara negeri yang mengambil bahagian termasuklah Perlis, Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan.

Daripada keseluruhan peserta itu, lapan daripadanya adalah penunggang wanita dan mereka akan berkonvoi mengelilingi bandar raya Ipoh dalam masa lebih kurang 1 jam 50 minit.

Bercakap kepada pemberita sebelum majlis pelepasan konvoi, Dr Zambry berkata, peserta program akan dibawa melihat tempat menarik di bandar raya Ipoh dan seluruh Perak.

“Program ini juga secara tidak langsung berjaya membawa ramai penunggang dari luar negeri Perak berkunjung ke negeri ini, sekaligus menjayakan Tahun Melawat Perak 2012.

“Sebahagian besar iaitu 90 peratus peserta adalah dari luar Perak,” katanya lagi.

Program Gegar Ipoh tahun ini terbahagi kepada dua sesi iaitu bersama Menteri Besar dan Datuk Bandar Ipoh.

Untuk konvoi mengelilingi bandar raya Ipoh, antara laluan yang terbabit ialah Jalan Tambun ke Tanjung Rambutan, Jalan Jalan Chemor ke Chemor, masuk Jalan Jelapang menuju ke Chepor, Jalan Lahat ke Little India dan Jalan Sultan Yussuf.

Pada sebelah petangnya, peserta akan berkonvoi ke Taman Rekreasi Gunung Lang untuk program barbeku bersama MBI dan pelbagai aktiviti menarik lain yang disediakan pihak penganjur.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...