Khamis, 1 November 2012

Jemaah haji mula pulang hari ini!!!


Di Jeddah seramai 310 jemaah haji Malaysia menjadi kumpulan pertama berangkat pulang ke tanah air pada Khamis kira-kira 7 pagi waktu tempatan dengan menaiki pesawat Saudi Airlines.

Pengarah Operasi Tabung Haji Jeddah Abdul Karim Samad berkata jemaah berkenaan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada kira-kira 9.15 malam waktu Malaysia.

Beliau berkata kesemua 28,000 jemaah haji Malaysia akan pulang ke tanah air secara berperingkat dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 28 Nov.

Sebelum ini mereka di tempatkan di asrama Tabung Haji "Madinahtul Hujaj" disini untuk proses transit selama 24 jam selepas tiba dari hotel masing-masing di Makkah.

"Di sini petugas Tabung Haji menguruskan kesemua urusan bagasi, pasport dan tiket penerbangan, biasanya jemaah haji kita meluangkan masa dengan berehat," kata Abdul Karim di sini, Khamis.

Katanya, penerbangan ke Johor Baharu akan bermula pada 3 Nov, Pulau Pinang(12 Nov), Kuala Terengganu (12 Nov), Kuching (13 Nov) dan Kota Kinabalu pada 15 Nov ini.

Beliau berkata 56 peratus daripada 28,000 jemaah haji Malaysia akan singgah dahulu ke Madinah untuk melakukan ziarah bermula 6 Nov. Mereka akan berada di Tanah Suci itu selama lapan hari.

Sementara itu, didapati jemaah haji Malaysia yang ditempatkan di Madinahtul Hujaj berada dalam keadaan sihat dan tidak sabar untuk balik ke kampung halaman masing-masing selepas berada lebih kurang 40 hari di Tanah Suci.

Walaupun gembira tetapi rasa sayu dan sedih tidak dapat disembunyikan kerana masing-masing mengakui suasana beribadah di Tanah Suci sangat berbeza berbanding dengan tempat lain.

Seorang pesara guru, Ruslina Awang, 58, mengakui sangat sedih untuk meninggalkan Makkah dan juga Madinah di mana junjungan besar Rasulullah SAW disemadikan.

"Entah bila dapat bertemu (menziarahi makam) baginda lagi, kalau diizinkan Tuhan, saya mahu kembali melakukan ziarah di Madinah dan beribadat di Makkah,"katanya.

Seorang lagi jemaah, Megat Hamzah, 48, berkata walaupun berasa gembira untuk pulang ke tanah air tetapi pada masa yang sama hati terasa berat untuk meninggalkan Makkah.

"Setiap hari kita solat, kita nampak Kaabah depan mata, semasa di Madinah pula, kita terasa dekat dengan Rasulullah SAW...saya mahu datang ke sini (Makkah) jika keadaan dan kewangan mengizinkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...