Ahad, 30 Jun 2013

JSJK IPK Perak berjaya tangkap seorang Ah Long di Bercham, Ipoh


Kelicikan seorang lelaki yang bergerak aktif sebagai peminjam wang tanpa lesen (ah long) di sekitar bandar raya ini terutama di kawasan Bercham, Ipoh berakhir setelah dia diberkas sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan memaklumkan, suspek berusia 34 tahun dipercayai turut menggunakan pedang samurai untuk menakut-nakutkan serta mengugut mangsa yang terdiri daripada peminjam yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan.

Menurut beliau, polis berjaya menahan suspek selepas menerima banyak laporan dan aduan daripada orang awam yang menjadi mangsa lelaki terbabit.

"Dalam serbuan yang dilakukan di sebuah premis di Bercham, polis turut merampas beberapa barangan yang disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan.

"Antara barangan yang dirampas adalah tiga pedang samurai, 47 kain rentang ah long yang mengandungi nombor telefon, dua bungkusan pengikat kabel, tiga telefon bimbit, 36 dokumen, dua buku catatan mengandungi senarai nama peminjam wang, mesin kira-kira dan buku baucar gaji (salary voucher)," katanya pada sidang media di Pusat Media IPK Perak, semalam.

Hadir sama, Ketua JSJK Negeri, Superintendan Maszely Minhad.



Tambah beliau, berikutan penangkapan itu, suspek ditahan reman selama 24 jam dan polis akan memohon untuk melanjutkan tempoh reman ke atas suspek bagi membantu siasatan.

Beliau turut memaklumkan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta.

"Saya nasihatkan orang ramai tidak membuat pinjaman daripada ah long yang menyediakan pinjaman segera dan mudah kerana faedah yang dikenakan kepada peminjam lebih tinggi berbanding institusi kewangan berlesen.

“Selain itu, sindiket terbabit sanggup guna ugutan dan kekerasan ke atas peminjam untuk mendapatkan kembali wang pinjaman dan ini boleh mengancam keselamatan peminjam termasuk ahli keluarga,” jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...