Rabu, 4 September 2013

Syabu @ Ais - Kesan Atas Pengambilannya



Pengambilan dadah rekaan, Amphetamine Type Stimulant (ATS) atau Syabu seumpama menempah tiket ke neraka – tidak saja neraka akhirat tetapi juga neraka dunia berikutan penagihnya akan mengalami pelbagai kesengsaraan kesihatan dan mental.

Syabu mula diberikan perhatian sejak kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa pengambilan dadah jenis ini di kalangan generasi muda dikenal pasti punca utama peningkatan kes jenayah termasuk bunuh, rompak dan rogol.

Musa berkata, pengambilan dadah ATS menyebabkan mereka tidak mempunyai rasa takut dan belas kasihan terhadap mangsa ketika melakukan jenayah termasuk membunuh, seperti mana yang berlaku akhir-akhir ini.

Malah akibat tidak sanggup menghadapi tekanan kesengsaraan itu, ada penagih akhirnya memilih untuk membunuh diri mungkin dengan anggapan membunuh diri lebih baik daripada mengalami kesengsaraan syabu.

Pakar Perubatan Penagihan dari Pusat Pakar Rawatan Dr Mahmud; Dr Mahmud Mazlan, berkata kali pertama mencuba syabu atau turut dikenali sebagai ,ice, dan ,pil kuda, seseorang akan berasa bertenaga, bersemangat dan penuh emosi secara sementara berikutan dadah itu adalah berjenis perangsang.

Malah akibat tidak sanggup menghadapi tekanan kesengsaraan itu, ada penagih akhirnya memilih untuk membunuh diri mungkin dengan anggapan membunuh diri lebih baik daripada mengalami kesengsaraan syabu.

Beliau bagaimanapun berkata, sebaik berasa kesan euphoria iaitu keseronokan akibat syabu, individu itu akan mengambil dadah itu secara berterusan bagi terus merasai kesannya sehingga menyebabkan ketagihan.

Kesan seronok akibat dadah ini lenyap sebelum kandungan dadah berkurangan dalam darah dan penggunanya akan cuba meneruskan kesan khayal dengan penggunaan dadah itu secara berulang kali.

Pengguna mengambil dos lebih dan berulang untuk meneruskan kesan khayal yang dialaminya. Pengguna tidak makan atau tidur tetapi pada masa sama terus menyuntik dadah ini sehingga satu gram setiap dua dan tiga jam dalam jangka masa beberapa hari sehingga bekalannya habis atau sehingga mereka tidak berupaya meneruskannya.

Syabu tidak perlu diambil setiap hari berbanding pengambilan heroin. Cukup sekadar dua kali dalam seminggu dan ia boleh membuatkan pengguna ketagih dan memudaratkan,katanya yang juga bekas Pakar Psikiatrik Pemulihan Muar, Johor.

Katanya, kesan khayal dan keseronokan dipercayai akibat rangsangan terhadap dopamine iaitu penghantar neuron ke otak yang bersifat perangsang. Syabu perlu diambil berterusan bagi terus merangsang dopamine.

Jika penagih berhenti mengambil syabu, kadar dopamine dalam otak berkurangan sehingga mencetuskan pelbagai masalah kesihatan dan mental. Bagi mengembalikan dopamine kepada kadar normal seperti manusia biasa, ia memerlukan rawatan dan meninggalkan syabu selama setahun.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh itu, penagih akan menghadapi keseksaan termasuk gian, mengalami masalah kesihatan dan mental seperti delusi, halusinasi atau sakit mental, katanya.

Tiada jalan keluar yang selesa sekiranya seseorang sudah terjebak dengan syabu kerana sebaik menagih dadah itu, sama ada untuk berhenti atau meneruskan penagihan, mereka perlu menempuh jalan keseksaan.

Jika tidak menghentikan penagihan, penagih menghadapi pelbagai komplikasi kesihatan seperti strok, saluran darah pecah, tekanan darah tinggi, lumpuh, masalah jantung, dan masalah otak yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Syabu juga boleh menghilangkan nafsu seks seseorang.

Kesan pengambilan syabu menyebabkan sakit emosi dan otak menjadi lembap, sakit jiwa dan mengalami kemurungan melampau sehingga mampu membunuh diri.

Antara kesan halusinasi adalah seperti mendengar suara asing atau merasa orang mengutuk dirinya manakala delusi adalah berprasangka, merasakan ada orang ingin menganiayainya selain mempercayai isterinya curang? katanya.


Fakta: Kesan syabu pada kesihatan

Mental dan emosi: Gila akibat halusinasi dan delusi sehingga mampu membunuh diri, gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas. Pada dos yang tinggi menaikkan suhu badan kepada tahap membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.

Kepala: Mulut kering, berpeluh berlebihan, anak mata menjadi besar, menggeletar dan sakit kepala, dopamine pada otak kurang aktif, urat saraf pada otak putus hingga menyebabkan strok atau lumpuh.

Fizikal: Pengguna tidak tidur selama tiga sehingga 15 hari, hilang selera makan dan berat badan menurun, berpeluh, pucat, pengabaian kesihatan diri, badan berbau, gigi kekuningan, berparut dan luka di badan. Kudis jelas kelihatan akibat pengguna syabu menggaru kulit untuk menghapus bayangan serangga yang disangka berada pada kulitnya. Kurang daya tahan melawan penyakit akibat pengabaian kesihatan. Lumpuh.

Saraf: Kerosakan pada sistem saraf dan otak boleh menyebabkan gejala seperti penyakit Parkinson (dengan gangguan pergerakan anggota badan) dan penyakit Alzheimer (dengan fungsi otak menjadi lemah dan nyanyuk).

Jantung dan salur darah: Kerosakan pada jantung akibat degupan kencang, tidak menentu dan tekanan darah meningkat hingga mengakibatkan sakit jantung dan maut. Saluran darah pecah akibat bahan kimia syabu menghakis dinding salur darah.


Perut dan sistem penghadaman: Mengalami gangguan saluran makanan dan kebuluran berlanjutan sebab tidak makan ketika pengambilan syabu; bahan toksik dalam dadah yang dicampur dengan bahan lain menyebabkan gangguan kepada perut dan sistem penghadaman.

Sistem peranakan (wanita): Pengambilan syabu ketika mengandung akan menjejaskan pembentukan bayi, kelahiran sebelum cukup tempoh atau keguguran; bayi dilahirkan adalah kecil, terlalu aktif, mudah gelisah dan dikhuatiri mengalami masalah mental dan tumbesaran.

Sistem seksual: Sistem seksual terganggu.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...